Tiada sesiapa dilindungi isu integriti, saya tidak campur tangan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada program khas Dialog Negara di Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 November – Mana-mana individu yang terbabit dengan salah laku tidak akan dilindungi dalam usaha memperkukuh integriti dan tatakelola pentadbiran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar menegaskan beliau tidak akan campur tangan atau mempertahankan sesiapa yang disiasat, termasuk anggota Jemaah Menteri.
  • SPRM perlu diberi ruang menjalankan tugas, manakala tindakan tegas mesti diambil terhadap setiap pelanggaran dan kes ketirisan.
  • Usaha membanteras rasuah sistemik dan memperbaiki tatakelola mesti diteruskan tanpa mengira populariti politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan membabitkan individu yang mempunyai hubungan rapat dengannya, malah tidak akan mempertahankan mereka sekiranya didapati bersalah.

Beliau berkata, prinsip itu turut terpakai kepada anggota Jemaah Menteri, sambil menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi ruang menjalankan tugas tanpa campur tangan.

“Rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri tahu saya tidak akan pertahankan. SPRM di bawah pimpinan bekas hakim itu lebih tegas menjalankan tugas mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program khas Dialog Negara yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik malam ini.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar mengakui usaha membanteras rasuah lebih mencabar daripada jangkaannya kerana amalan itu sudah bersifat sistemik, sehingga ada pihak menganggap perbuatan berkenaan sebagai sesuatu yang biasa atau hak mereka.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tindakan perlu diambil terhadap setiap pelanggaran, termasuk kes ketirisan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Masa kes TUDM, saya terus telefon Menteri Pertahanan dan Panglima Angkatan Tentera beri sokongan sepenuhnya supaya tindakan harus diambil,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan kesalahan segelintir individu tidak seharusnya mencerminkan keseluruhan organisasi, namun tindakan tegas tetap perlu dilaksanakan bagi memastikan akauntabiliti.

Tambah beliau, usaha memperbaiki tatakelola perlu diteruskan tanpa mengira populariti politik, meskipun langkah itu mungkin mendapat tentangan daripada pihak tertentu.

Katanya, golongan muda khususnya mahasiswa menjadi antara harapan penting dalam membentuk budaya integriti, justeru kerajaan perlu memberi ruang kepada mereka untuk menyuarakan pandangan dan mempertahankan idealisme.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.