KUALA LUMPUR, 13 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada sekatan akan dikenakan untuk pembukaan bazar Ramadan pada tahun ini.
Bagaimanapun, SOP pembukaan bazar tersebut akan diperhalusi dan tertakluk kepada nasihat Kementerian Kesihatan dan akan dimumkan bila tiba masanya.
"Saya dah katakan sebelum ini yang kita tidak akan menutup perniagaan, dan setakat hari ini,kita tetap tidak akan tutup."
"Itu keputusan yang masih lagi kita laksanakan ya, saya dah sebut sama ada Hari Raya, atau bulan puasa pasar Ramadan atau pasar malam masih dibuka seperti biasa, jadi saya percaya, sampai tiba masanya nanti, keputusan yang sama, pasti akan dikekalkan,"kata Ismail.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Makan Tengah hari Lou Sang sempena Tahun Baru Cina Keluarga Malaysia.
Majlis anjuran ASEAN Retail-chains Franchise Federation, ARFF turut dihadiri oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Pada 2020, operasi Bazar Ramadan di seluruh negara tidak dibenarkan bagi mengekang penularan COVID-19, manakala pada tahun lalu pula, operasi Bazar Ramadan di kawasan yang dikenakan Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tidak dibenar beroperasi.