KUALA LUMPUR, 13 Februari- Melangkaui tujuh dekad sebagai peneraju industri penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus mengorak langkah melaksanakan transformasi pendigitalan.
Malah, landskap radio telah berubah seiring peredaran masa, daripada penggunaan secara manual kepada sistem digital.
Veteran RTM, Datuk Chuari Selamat berkata, meskipun melalui pelbagai transformasi digital, penyiaran radio merupakan medium penyampaian maklumat yang kekal relevan.
"RTM sememangnya mempunyai peralatan yang cukup lengkap, jadi sebagai penyiar di stesen tertua negara ini, seharusnya menggunakan sebaiknya kemudahan dan tiada alasan untuk terus berdaya maju serta berusaha meningkatkan kreativiti dalam penyampaian serta perkhidmatan setara dengan kecanggihan peralatan dimiliki stesen radio RTM," katanya ketika ditemubual RTM.
Sementara itu, Penerbit Suara Emas Radio Klasik, Norazlina Mohamed berkata, pengendali stesen radio berperanan besar berganding bahu membangunkan perkhidmatan radio di Malaysia menjadi yang terbaik dan bermutu tinggi.
"Sebagai warga kerja RTM, saya rasa bertuah kerana berpeluang merasai peredaran zaman penyiaran sebelum era digital lagi dimana menggunakan peralatan dipanggil Nagra , iaitu peralatan sebesar beg yang sangat berat seperti lesung batu digalas di bahu sehinggalah menggunakan cakera padat hingga kini era digital," katanya.
Bagi Penyampai Radio Nasional FM, DJ Sonic, beliau menyifatkan perubahan era penyiaran radio adalah perkembangan pesat yang perlu ditelusuri setiap pengendali radio sepertinya agar tidak ketinggalan.
"Banyak yang saya pelajari di RTM, kini radio bukan sahaja untuk didengar tapi boleh ditonton di tv. Pengalaman ini pastinya mengajar saya dari segi perubahan, era penggunaan peralatan apabila bersiaran," katanya.