PONTIAN, 13 Februari- 271 usahawan terkesan akibat COVID-19 seluruh negara menerima pembiayaan RM70 juta menerusi Skim Pecutan Mampan, (SUCCESS) yang diperkenalkan Permodalan Usahawan Nasional Berhad, (PUNB) sejak November tahun lalu.
Pembiayaan itu ditawarkan khas kepada Rakan Usahawan PUNB sedia ada, bagi memastikan kelestarian usahawan mendepani cabaran COVID-19 dalam fasa pemulihan negara.
Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, inisiatif SUCCESS diteruskan dan peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian bagi mendapatkan pembiayaan itu.
"InsyaAllah kita akan cuba sebaik mungkinlah secepat mungkin kita tak nak lama itu untuk RM300,00 ke bawah manakala yang ke atas tu kita dalam proses untuk memendekkan lagi supaya usahawan tidak tunggu lama bila mereka mohon pinjaman ini," kata Azlan.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Taklimat dan Sesi Dialog PUNB bersama usahawan di Pontian, Johor.
Di Johor, 40 usahawan menerima pembiayaan keseluruhan RM9 juta menerusi skim itu setakat hari ini.