fb fb fb fb fb

PM adakan lawatan kerja ke negara ASEAN sebelum cadang ke China, Asia Barat

 

KUALA LUMPUR, 13 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata beliau bercadang mengadakan lawatan kerja ke China pada Mei dan ke Asia Barat pada penghujung Mac ini.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata pada peringkat awal beliau akan menghabiskan dahulu lawatan kerjanya ke negara-negara ASEAN.

Beliau akan mengadakan lawatan kerja ke Brunei yang dijadualkan esok sebelum ke negara lain seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam.

"Saya selesaikan ASEAN dulu sebelum saya pergi ke negara Timur Tengah (Asia Barat), tengah tunggu tarikh mungkin Mac atau selepas Parlimen habis bersidang, selepas itu saya ke China," katanya selepas menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia di sini.

Majlis tersebut merupakan anjuran bersama ASEAN Retail-chains Franchise Federation (ARFF) dan syarikat-syarikat korporat di negara.

Turut hadir bersama ialah Duta Besar China Ke Malaysia, Ouyang Yujing dan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malaysia menjalin hubungan diplomatik dengan China sejak 1974, negara pertama di ASEAN yang melakukannya. Sejak itu, kedua-dua negara menjalin hubungan erat dan membangun perkongsian untuk kepentingan bersama dalam pelbagai aspek.

Selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos lalu, Indonesia menjadi negara pertama dilawati Ismail Sabri, November tahun lalu.

Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri ketiga yang mengadakan pertemuan dengan Joko Widodo sejak 2018 berikutan perubahan tampuk kepemimpinan negara.

Media Baharu