PUTRAJAYA, 21 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada sebarang rombakan kabinet akan dilakukan susulan keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 peringkat cabang yang berakhir semalam.
Jelas beliau, proses pemilihan yang berlangsung di peringkat akar umbi itu adalah urusan parti dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan Kerajaan Negeri mahupun Kerajaan Persekutuan.
“Tiada (rombakan kabinet). Ini soal parti, tidak timbul soal Kerajaan Negeri atau Persekutuan. Ia berjalan seperti biasa. Saya lihat dari segi prestasi masing-masing dan bukan dari segi percaturan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Pengajian Tinggi di sini, hari ini.
Anwar yang juga Presiden PKR turut menyifatkan proses pemilihan peringkat cabang melibatkan sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berlangsung dalam keadaan baik dan teratur.
Namun, beliau tidak menolak sebarang isu atau kekeliruan yang timbul berhubung pemilihan itu boleh dibawa dan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat yang dijadualkan pada Rabu ini.
Pemilihan cabang PKR semalam menyaksikan beberapa nama besar dalam parti tewas mengejut, sekali gus menarik perhatian pemerhati politik terhadap dinamik dalaman parti menjelang Kongres Nasional akan datang.