KUALA LUMPUR, 23 April- Kementerian Luar Negeri hari ini mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas dalam kejadian gempa bumi bermagnitud 6.2 yang melanda Istanbul, Turkiye, pada Rabu.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat situasi semasa susulan gempa yang berlaku pada pukul 12.49 tengah hari waktu tempatan di Laut Marmara, berhampiran Daerah Silivri, Istanbul.
Melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, kementerian itu turut mengekalkan hubungan rapat dengan rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas serta pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini.
Wisma Putra dalam masa sama menasihatkan rakyat Malaysia di Turkiye agar berwaspada, mematuhi semua arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah keselamatan sewajarnya sepanjang tempoh pasca-gempa.
Bagi tujuan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Istanbul, yang terletak di Polat Plaza, Sisli, melalui talian +90-212 989 10 01 (waktu bekerja) atau WhatsApp +90 531 716 05 51 (luar waktu bekerja). Pertanyaan juga boleh dikemukakan melalui emel ke
Kementerian Luar Negeri akan terus memantau keadaan dan akan mengeluarkan sebarang maklumat lanjut jika diperlukan.