PUTRAJAYA, 18 Januari - Pelantikan Pesuruhjaya Kanak-Kanak menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tidak akan menyebabkan pertindihan tugas.
Jelas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ia dilihat dapat membantu dari segi semak dan imbang kepada kementeriannya dan kementerian yang terlibat.
"Kami akan menjalankan tugas seperti biasa...tapi ini akan membantu bukan sahaja kita tetapi membantu KDN, Kementerian Pendidikan yang berurusan dengan kanak-kanak.
“Jadi tidak ada pertindihan, malah boleh membantu dari segi semak dan imbang untuk kementerian,” katanya kepada pemberita selepas sesi Town Hall Perkhidmatan Kanak-Kanak (Pemeliharaan dan Perlindungan) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Tahun 2023, di sini.
Terdahulu, kerajaan memutuskan melantik Pesuruhjaya Kanak-Kanak bagi menganggotai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) susulan peningkatan kes penderaan dan masalah sosial melibatkan golongan berkenaan.
Dalam perkembangan lain, mengenai pemberian tambang percuma pengangkutan awam kepada orang kurang upaya (OKU), Nancy berkata perkara tersebut telah dipersetujui kementerian pengangkutan secara prinsip.
Namun, satu mekanisme bersesuaian akan diperhalusi.
"Mereka sebenarnya tidak ramai (OKU) untuk terima manfaat itu, lagipun sekarang ada 50 peratus diskaun untuk pengguna OKU jadi saya minta beri secara percuma,” katanya.