fb fb fb fb fb

Tiada perhimpunan dibenarkan di Ampang Park

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dalam sidang media di ibu negara /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Polis tidak membenarkan sebarang perhimpunan diadakan di kawasan Ampang Park esok, bagi memastikan keselamatan dan kelancaran penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, serta menjaga imej negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menegaskan, kawasan Ampang Park dikenal pasti sebagai Zon Merah kerana terletak berhampiran laluan utama pergerakan dan penginapan rasmi ketua-ketua negara serta delegasi antarabangsa yang menghadiri sidang berprestij itu.

“Cadangan untuk mengadakan perhimpunan di Ampang Park adalah tidak bersesuaian berdasarkan risikan dan analisis kami. Kawasan itu berada dalam jarak 50 meter daripada Zon Merah yang menempatkan laluan serta penginapan delegasi ASEAN,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis telah mengadakan sesi libat urus dengan penganjur bagi menawarkan beberapa lokasi alternatif seperti Padang Merbok dan Taman Jaya, namun difahamkan penganjur masih berhasrat untuk meneruskan perhimpunan di kawasan asal.

Tambah Datuk Fadil, pihaknya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sekiranya perhimpunan diteruskan tanpa kebenaran.

Katanya, kawalan keselamatan di sekitar kawasan strategik termasuk Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Menara Berkembar Petronas, serta beberapa hotel utama akan dipertingkatkan sepanjang tempoh sidang kemuncak berlangsung.

“Kita bukan menafikan hak untuk berhimpun, tetapi isu ini melibatkan keselamatan dan imej negara di mata antarabangsa. Tanggungjawab polis ialah memastikan Sidang Kemuncak ASEAN berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang boleh menjejaskan reputasi Malaysia,” jelasnya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan sebarang seruan atau hebahan di media sosial yang boleh menimbulkan kekeliruan, selain memberi kerjasama kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Datuk Fadil dalam masa sama mengingatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan lebih awal memandangkan beberapa laluan utama akan ditutup atau dilencongkan bagi memberi laluan kepada konvoi rasmi ketua-ketua negara yang hadir ke sidang berkenaan.

EMMI NORALIZA ADNAN