fb fb fb fb fb

ASEAN perkukuh komuniti keselamatan jamin kesejahteraan rakyat

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada pembukaan Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-30 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara/RTM

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - ASEAN komited memperkukuh kerjasama keselamatan melalui pelaksanaan Pelan Strategik Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia selaku pengerusi menekankan kepentingan memperkukuh sistem perundangan, asas kehakiman dan keselamatan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

"Dalam memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang, ASEAN telah mengambil langkah inovatif untuk membanteras kaitan antara jenayah rentas sempadan, pengubahan wang haram, serta jenayah siber yang semakin canggih termasuk penipuan dalam talian.

"Dengan inisiatif Malaysia, Kumpulan Kerja Jawatankuasa Teknikal SOM mengenai Pengubahan Wang Haram telah ditubuhkan." katanya ketika berucap pada pembukaan Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-30 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

Malaysia turut menegaskan komitmen ASEAN untuk terus menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang dan hak asasi manusia dalam pembinaan Komuniti ASEAN.

Jelasnya lagi, Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) telah memperkenalkan garis panduan perlindungan mangsa pemerdagangan manusia serta mempromosi hak terhadap persekitaran yang selamat dan lestari.

"Usaha ini mengukuhkan komitmen bersama ASEAN memastikan keadilan dan perlindungan bagi mangsa, serta menyelaraskan amalan serantau dengan piawaian antarabangsa hak asasi manusia dan anti-pemerdagangan." katanya.

Dalam bidang undang-undang, Menteri-Menteri Undang-Undang ASEAN komited untuk mempromosikan mekanisme timbang tara dan mediasi yang sejajar dengan piawaian antarabangsa bagi menyokong integrasi ekonomi serantau.

Sementara itu, Perjanjian Ekstradisi ASEAN kini berada pada peringkat akhir pemuktamadan dan dijangka ditandatangani bulan hadapan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ