fb fb fb fb fb

Banjir: 2,973 penduduk terjejas, 26 PPS dibuka di Perak

Foto RTM

IPOH, 25 Oktober – Penduduk terjejas banjir di Perak menunjukkan sedikit penurunan apabila 2,973 penduduk daripada 1,010 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 12 tengah hari ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, jumlah itu menurun berbanding 2,984 orang pada pukul 10 pagi, dengan bilangan keluarga dan PPS kekal sama.

"Empat daerah yang terjejas ialah Larut Matang dan Selama (LMS), Kerian, Manjung serta Perak Tengah, dengan trend keseluruhan banjir dilapor stabil namun belum pulih sepenuhnya.

"LMS kekal menjadi daerah paling terjejas dengan 2,065 penduduk daripada 726 keluarga di 19 PPS, menunjukkan hanya penurunan kecil berbanding pagi tadi," jelas kenyataan tersebut.

Bagaimanapun kenyataan itu memaklumkan yang daerah Manjung merekodkan peningkatan jumlah penduduk terjejas kepada 597 orang daripada 196 keluarga, berbanding 570 pada pukul 10 pagi.

"Kerian turut mencatatkan sedikit peningkatan kepada 201 orang daripada 57 keluarga, manakala Perak Tengah kekal 110 pendudukdaripada 31 keluarga di satu PPS," menurut kenyataan sama.

Sementara itu, laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan Sungai Kurau di Batu 14, Taiping kekal pada paras bahaya 20.52 meter dan terus dipantau rapi.

Sungai Slim di Slim River, Muallim juga masih melepasi paras bahaya dengan bacaan 23.47 meter, manakala Empangan Bukit Merah berada pada paras 8.19 meter.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN