fb fb fb fb fb

Malaysia, Brazil perkukuh kerjasama sektor semikonduktor

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva selepas mengadakan pertemuan dua hala bersempena lawatan rasmi beliau ke Malaysia di Kompleks Seri Perdana di Putrajaya/BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Oktober - Malaysia dan Brazil bersetuju memperkukuhkan kerjasama dua hala melalui pelbagai bidang strategik, termasuk kerjasama dalam sektor semikonduktor dan penyelidikan saintifik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedua-dua pihak telah menandatangani enam memorandum persefahaman (MoU) yang meliputi bidang perdagangan, pelaburan, teknologi, pendidikan, pertanian serta pembangunan mampan.

“Kerjasama ini bukan sekadar diplomasi biasa, tetapi satu usaha berasaskan keyakinan bersama untuk memperkukuh hubungan antara dua negara dari rantau Asia dan Amerika Latin,” katanya selepas mesyuarat dua hala bersama Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva di Seri Perdana, hari ini.

Kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneroka potensi besar dalam industri semikonduktor, dengan Malaysia menawarkan kepakaran sedia ada dalam bidang pembuatan dan reka bentuk cip, manakala Brazil berkongsi kepakaran dalam teknologi dan penyelidikan lanjutan.

“Brazil mempunyai keupayaan tinggi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan saintifik, sementara Malaysia sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai hab semikonduktor serantau. Gabungan kepakaran ini mampu membawa manfaat besar kepada kedua-dua negara,” jelasnya.

MoU lain melibatkan peningkatan perdagangan dwiarah, pelaburan strategik sektor tenaga, kerjasama pertanian termasuk import produk ayam dari Brazil, pertukaran pendidikan tinggi, dan kerjasama dalam usaha menangani perubahan iklim.

“Malaysia menghargai hubungan yang terjalin sekian lama dengan Brazil dan percaya kerjasama ini akan membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia–Brazil ke arah masa depan yang lebih inklusif, hijau dan sejahtera,” tambah beliau.

Turut hadir, beberapa menteri Kabinet dan wakil delegasi tinggi Brazil.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ