fb fb fb fb fb

Presiden Lula tekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan global

Foto RTM

PUTRAJAYA, 25 Oktober - Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara berasaskan nilai kemanusiaan, keadilan sosial dan tanggungjawab bersama terhadap kesejahteraan global.

Beliau pada sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasminya ke Malaysia menzahirkan rasa hormat dan penghargaan terhadap Datuk Seri Anwar yang disifatkannya sebagai seorang sahabat dan pemimpin yang mempunyai perjuangan dan pengalaman hampir sama dalam membela rakyat.

“Saya datang ke Malaysia bukan hanya untuk berdagang, tetapi untuk memperkukuh semangat kemanusiaan. Dunia memerlukan keamanan, bukan peperangan; perdagangan bebas, bukan perlindungan ekonomi; dan lebih banyak makanan untuk rakyat, bukan kebuluran,” katanya.

Presiden Lula turut berkongsi pengalaman hidupnya yang lahir dalam kemiskinan dan pernah mengalami kelaparan, sambil menekankan bahawa tanggungjawab utama sesebuah kerajaan ialah menjaga kebajikan rakyat miskin dan golongan memerlukan.

"Menjaga rakyat bererti menjaga mereka yang paling memerlukan. Golongan kaya tidak memerlukan bantuan kerajaan seperti golongan miskin yang bergantung pada dasar sosial dan keadilan ekonomi," tegas beliau.

Beliau turut mengkritik kegagalan institusi antarabangsa seperti Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu dalam menangani peperangan dan isu kemanusiaan seperti konflik di Ukraine dan Gaza.

"Apabila dunia mula menerima keganasan sebagai sesuatu yang normal, kita sudah hilang sifat kemanusiaan. Institusi global kini lemah dan gagal mencegah peperangan yang seharusnya dielakkan," ujarnya.

Presiden Lula juga menyeru tindakan segera terhadap isu perubahan iklim, sambil menyatakan bahawa negara-negara miskin sering menjadi mangsa utama bencana alam akibat ketidakseimbangan global.

Beliau turut menekankan bahawa kepimpinan sejati bukan hanya tentang kekuasaan, tetapi tentang keberanian membuat keputusan yang berpihak kepada rakyat dan masa depan dunia.

“Memimpin bermaksud memilih. Memilih untuk siapa kita berjuang dan nilai apa yang kita pertahankan,” katanya.

Presiden Lula turut menyatakan penghargaan atas jemputan Malaysia untuk menyertai Sidang Kemuncak ASEAN sebagai negara Amerika Latin pertama yang dijemput, sambil menganggapnya sebagai pencapaian besar dalam sejarah hubungan dua hala.

“Sudah 30 tahun tiada Presiden Brazil melawat Malaysia. Lawatan ini bukan sekadar diplomasi, tetapi tanda keakraban dan harapan baharu antara Brazil dan Malaysia,” ujar beliau.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN