fb fb fb fb fb

Tiada perancangan wajibkan pemasangan 'dashcam'

Menteri Pengangkutan Anthony Loke

 

KUALA LUMPUR, 16 Mei- Tiada perancangan untuk mewajibkan penggunaan kamera papan pemuka (dashcam) pada kenderaan, setakat ini.

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihaknya menggalakkan pemasangan alat tersebut bagi merakam situasi semasa memandu.

"Memang ada banyak cadangan untuk pemasangan dashcam ini diwajibkan. Tetapi saya telah dinyatakan bahawa kita nak wajibkan sesuatu yang baharu kepada semua kenderaan akan ada cabarannya, sebab banyak kenderaan yang lama.

"Setakat ini Kementerian Pengangkutan belum ada satu perancangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam di semua kenderaan. Tetapi, kita menggalakkan pemasangan dashcam terutamanya pada kenderaan daripada pengilang, kalau mereka boleh pasang sekali dengan kereta baharu, itu amat kita mengalu-alukan. Tetapi setakat ini kita belum wajibkan lagi", katanya kepada media selepas menghadiri program sesi libat urus Menteri Pengangkutan Bersama Editor Media di Ibu negara.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pengangkutan Datuk Normah Osman dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan, Aedy Fadly Ramli.

Sementara itu, Malaysia merekodkan purata 17 kematian setiap hari akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2023.

Loke berkata pada tempoh itu, kira-kira 600,000 kes kemalangan jalan raya telah direkodkan di seluruh negara dengan jumlah kematian 6,443 orang.

"Sekarang ini, kalau kita lihat statistik puratanya 15-17 orang yang meninggal di jalan raya dan itu angka yang sangat besar. Satu angka yang sangat membimbangkan.

"Jadi setiap orang yang meninggal disebabkan kemalangan bagi kita adalah satu tragedi yang tidak sepatutnya berlaku, sebab kemalangan jalan raya ini boleh dielakkan, ia bukannya penyakit, bukannya sesuatu yang tidak boleh disembuh, tidak boleh diubati.

"Kemalangan jalan raya ini boleh dielakkan kalau setiap orang lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya", katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati pemanduan laju meningkatkan risiko kemalangan terutama melibatkan penunggang motosikal yang melakukan aksi 'rempit' berbahaya.

Tambahnya, antara sebab lain kemalangan ialah kecuaian, faktor jalan raya dan tidak patuh peraturan lalu lintas.

 

 

ROSLINA BINTI DIN