IPOH, 17 Januari- Tiada pelanggaran undang-undang dikesan sepanjang dua hari pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina di Perak.
Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina, Woo Kah Leong berkata, ia hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas 298 premis di seluruh negeri.
Jelas beliau, pihaknya berpuas hati dengan tahap kepatuhan peniaga terhadap pelaksanaan skim tersebut.
"Dalam dua hari ini, bilangan pemeriksaan premis adalah 298 dan tiada tindakan, tiada nilai sitaan, tiada kompaun dan bilangan aduan rasmi juga tiada sepanjang dua hari ini.
Kami akan pastikan bekalan barangan yang diperlukan di pasaran mencukupi dari semasa ke semasa, jangan lakukan pembelian panik kerana pihak kementerian dan pemborong akan pastikan barangan itu ada," katanya.
Kah Leong berkata demikian selepas melakukan pemantauan SHMMP Tahun Baru Cina di sebuah pasar raya di sini.
(Woo Kah Leong, Exco Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina)
Tambah beliau, pemantauan akan terus dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak bagi memastikan SHMMP Tahun Baharu Cina dipatuhi sepanjang penguatkuasaanya sehingga 29 Januari depan.