fb fb fb fb fb

Tiada lagi konsert hiburan terkinja-kinja tegas Sanusi

(Syot layar video festival muda-mudi yang dianjurkan di Balai Seni Negara, Alor Setar, Kedah baru-baru ini)

ALOR SETAR, 3 Oktober - Kerajaan negeri menetapkan penganjuran konsert hiburan yang mencetuskan kelakuan di luar tatasusila tidak akan dibenarkan di seluruh negeri itu, tegas Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Ia susulan konsert yang berlaku baru-baru ini yang diadakan tidak jauh daripada Masjid Zahir.

Katanya, kejadian muda mudi terkinja-kinja tanpa arah di Balai Seni yang tular sejak kelmarin menjadi penanda aras kepada penganjur.

Menurutnya, sebarang aktiviti yang boleh merangsang pelanggaran norma masyarakat tempatan, tidak boleh diberikan sebarang ruang untuk ‘membiak’.

"Penganjuran acara yang menyihatkan tubuh badan seperti fun run (larian), fun ride (berbasikal), treasure hunt (pertandingan mencari harta karun), pertandingan memancing, dan lain-lain pertandingan yang selari dengan undang-undang, garis panduan program terbuka dan sesuai dengan tatasusila masyarakat tempatan adalah digalakkan," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

(Syot layar video festival muda-mudi yang dianjurkan di Balai Seni Negara, Alor Setar, Kedah baru-baru ini)

Tambah beliau, semua pegawai daerah yang mempengerusikan jawatan kuasa berkaitan pelesenan hiburan dimaklumkan mengenai hal tersebut dan arahan berkuat kuasa serta-merta.

Semalam, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad, berkata Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen kepada pihak penganjur untuk mengadakan konsert di dataran berhampiran Masjid Zahir dan akan memanggil penganjur untuk mendapatkan penjelasan.

Sejak kelmarin, tular beberapa rakaman video persembahan kumpulan muzik di pentas yang disaksikan ratusan penonton terdiri daripada anak muda dengan pelbagai aksi di Balai Seni di sini.

Media Baharu