fb fb fb fb fb

Dana khas pekerja gig dicadang bawah SEGIM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap dalam majlis Sembang Santai Teh Tarik Industri Gig di WTCKL

KUALA LUMPUR, 7 Ogos - Tahap pencaruman bagi perlindungan sosial dalam kalangan pekerja ekonomi gig masih rendah, meskipun pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun pada peringkat awal kerajaan menggalakkan pencaruman dilakukan secara sukarela, masih ramai yang tidak melaksanakannya, terutama pekerja dalam sektor e-hailing.

"Kita pada peringkat awalnya menggalakkan untuk pencaruman itu dilakukan, tetapi sekiranya tidak ada pencaruman, kita akan mencari jalan supaya caruman dapat dibuat kerana ia adalah untuk kepentingan individu yang mencarum. Kita harap ada satu kempen secara besar-besaran akan terus dilakukan oleh PERKESO," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sembang Santai Teh Tarik Industri Gig yang menghimpunkan lebih 400 pekerja pelbagai platform ekonomi gig.

Setakat ini, hanya 132,000 daripada 1.12 juta pekerja e-hailing telah mencarum dengan PERKESO, angka yang dilihat masih belum memadai.

Berikutan itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid mencadangkan agar satu dana khas ditubuhkan bawah Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGIM) bagi memberi bantuan kepada pekerja yang tidak mampu mencarum atau mengalami kehilangan keupayaan bekerja.

"Kami merasakan bahawa apabila ada cadangan peluncuran dana, maka SEGIM akan melihat mengenai pewujudan dana untuk dibayar sama ada secara sekali bayar ataupun pembayaran secara berperingkat yang akan difikirkan oleh SEGIM," katanya.

MASNIZA AWANG KECHIK