PUTRAJAYA, 12 September – Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mempolitikkan isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, ia termasuk insiden provokasi semasa proses pengosongan semalam.
Beliau menjelaskan, insiden tersebut dipercayai bukan berpunca daripada penduduk setempat, sebaliknya dilakukan oleh individu luar yang mengambil kesempatan untuk mencetuskan kekacauan.
“Saya telah dimaklumkan apa yang berlaku semalam dilakukan oleh mereka yang bukan penduduk di situ. Ini sangat mengecewakan kerana jelas ada pihak luar kawasan yang cuba mencetuskan provokasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas mengenai isu Kampung Sungai Baru di Menara Seri Wilayah di sini hari ini.
Mengulas berhubung video tular ucapan berbaur ugutan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beliau berkata laporan polis telah dibuat dan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan.
Pada masa sama, beliau menegaskan penggunaan kata-kata tidak wajar yang cuba menyamakan keadaan di negara ini dengan konflik di luar negara hanya mengundang keresahan rakyat.
“Kita bersusah payah memastikan negara ini kekal aman dan damai. Tidak wajar ada pihak yang menunggang isu ini sehingga mencetuskan demonstrasi atau kekacauan. Sebaliknya, sebarang masalah boleh diselesaikan dengan perbincangan dan cara yang betul,” tegasnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Sulizmie Affendy Sulaiman dilaporkan cedera di kepala selepas dibaling dengan objek semasa proses pengosongan tersebut.