PUTRAJAYA, 12 September- Satu laporan polis telah dibuat terhadap pempengaruh dan aktivis media sosial, Rafidah Ibrahim, berhubung kenyataan berunsur hasutan dan provokasi dalam isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Putrajaya diketuai Ketua Penerangannya; Mohd Hafiz Osman, dan disahkan diterima oleh Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed.
Menurut Mohd Hafiz, laporan itu dibuat selepas satu video yang dimuat naik melalui akaun TikTok milik Rafidah disifatkan sebagai keterlaluan dan berpotensi menggugat ketenteraman awam.
“Kenyataan yang disebarkan melalui platform media sosial, khususnya akaun TikTok atas nama Rafidah Haji Ibrahim, jelas mengandungi unsur hasutan terhadap penduduk dan orang awam.
"Kandungan tersebut didapati menggalakkan tindakan melanggar undang-undang, membuat tuduhan liar terhadap pemimpin dan pihak berkuasa tanpa sebarang asas fakta, serta menyeru agar bertindak ganas terhadap sebarang tindakan penguatkuasaan.
"Ia juga dilihat berpotensi mencetuskan kebencian dan ketakutan dalam kalangan masyarakat,” kata Mohd Hafiz yang ditemui selepas membuat laporan berkenaan.
Turut hadir, Ketua Biro Perpaduan PKR Cabang Putrajaya, V. Thevendran dan Ketua Biro Tugas Khas Cabang, Mohd Noor Arizam Arep.
Antara kenyataan yang dipetik dari video tersebut ialah dakwaan seperti “penceroboh sedang menceroboh tanah di Malaysia ini”, yang menurut mereka boleh membangkitkan sentimen kebencian dan menggagalkan usaha rundingan yang sedang dijalankan secara harmoni.
“Kami percaya kenyataan ini melanggar beberapa peruntukan undang-undang, antaranya: Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan kenyataan yang boleh mendatangkan ketakutan atau kegentaran awam, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, iaitu berhubung penyalahgunaan media sosial untuk menyebarkan kandungan yang tidak wajar,” kata Mohd Hafiz.
Sehubungan itu, pihaknya menggesa pihak berkuasa, khususnya PDRM dan MCMC segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Kami di Keadilan Putrajaya komited membela hak penduduk Kampung Sungai Baru melalui saluran sah dan rundingan adil, bukan melalui provokasi atau hasutan. Sebarang perbezaan pandangan harus disuarakan secara bertanggungjawab, berdasarkan fakta dan undang-undang,” tambahnya.
Sementara itu, V. Thevendran menyeru rakyat supaya lebih berhati-hati serta meneliti setiap kandungan di media sosial sebelum sewenang-wenang mempercayainya.
Beliau menegaskan kepentingan perpaduan serta menghormati tugas penjawat awam di samping mengelakkan penyebaran maklumat palsu yang boleh menggugat ketenteraman awam.
“Saya minta semua rakyat Malaysia supaya jangan terus percaya 100 peratus kepada apa yang disebarkan di media sosial. Kita perlu periksa dan buat siasatan sendiri supaya tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak benar.
“Perpaduan negara kita adalah sangat penting. Jangan gunakan isu ini untuk menghasut dan mengganggu ketenteraman awam,” tegasnya.
((LIP/NURUL))