fb fb fb fb fb

Tiada kompromi, MBPJ turunkan papan iklan haram

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon

PETALING JAYA, 11 September - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pemasangan papan iklan tanpa kelulusan sah daripada pihak berkuasa tempatan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, tindakan tegas dilaksanakan menerusi Operasi Penguatkuasaan Terhadap Paparan Iklan Tanpa Kelulusan dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi yang bermula sekitar pukul 10.30 malam itu memberi tumpuan kepada struktur papan iklan jenis pillarwrap bersaiz 10' x 15' (40 muka) serta papan iklan gantry digital bersaiz 30' x 85' (2 muka) di dua lokasi utama, iaitu KM16.40 – KM16.60 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) – Jambatan Kabel, dan KM19.8 (FT0002) Lebuhraya Persekutuan.

Hasil pemeriksaan mendapati struktur iklan terbabit dipasang tanpa lesen sah, meskipun notis amaran dan tempoh masa mencukupi telah diberikan kepada pihak syarikat.

“Setiap pengiklan dan syarikat wajib mendapatkan kelulusan serta lesen sah sebelum memasang iklan. Langkah ini penting bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan secara adil, menyeluruh dan berintegriti.

"MBPJ akan terus komited dan operasi seumpama ini akan diteruskan terhadap papan iklan yang tidak mengikut peraturan,” tegasnya dalam sidang media selepas operasi berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE