KUALA LUMPUR, 11 September - Langkah pengasingan penuh peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya disifatkan sebagai reformasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan MADANI, sekali gus mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Menurut kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Jemaah Menteri bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan pengasingan tersebut dengan kedua-dua jawatan diwujudkan secara berasingan serta setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan itu dibuat selepas meneliti Laporan Akhir dan Hala Tuju Pasukan Petugas Khas Kajian Komparatif yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Bagi tujuan itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan akan digubal secara berasingan membabitkan Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42, selain pengenalan Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) yang akan meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta berkaitan.
Pada masa sama, satu akta baharu mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan diwujudkan, sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971 [Akta 45].
Pelaksanaan pengasingan itu akan dibuat secara berfasa dengan penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada. Pasukan Petugas Khas Teknikal yang diterajui BHEUU bersama Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam akan memperincikan aspek pelaksanaan meliputi struktur organisasi, perjawatan, logistik dan implikasi kewangan.
“Syor lengkap hasil perincian ini akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan, supaya pindaan yang diperlukan dapat dilaksanakan dan pengasingan peranan ini dapat dijalankan dengan sewajarnya, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.