KUALA LUMPUR, 11 September - Generasi muda yang berbakat dalam penghasilan video, reka bentuk dan audio disaran memanfaatkan kemahiran mereka untuk berkhidmat kepada Al-Quran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, masa yang diluangkan di media sosial wajar digunakan untuk berkongsi kandungan yang mengingatkan kepada Allah SWT.
“Kita bimbang dengan keadaan semasa apabila media sosial dipenuhi kata-kata tidak baik, interaksi tanpa rasa hormat dan tidak mencerminkan akhlak mulia. Nilai-nilai murni semakin hilang dalam kalangan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku 63 Permata dan audio terjemahan Al-Quran berbahasa Tamil yang dihasilkan Ketua Imam Masjid India, Dr Seyed Ibrahim Al-Bukhari.
Buku tersebut membentangkan pengajaran Al-Quran dan Sunnah secara mudah dan praktikal seperti sifat kesyukuran, kejujuran, kesabaran serta belas kasihan.
Sementara itu, audio terjemahan dalam bentuk digital memberi manfaat besar kepada masyarakat Tamil Muslim termasuk golongan kurang upaya penglihatan.
Projek itu turut melibatkan kerjasama Sahabat India Muslim Kuala Lumpur (SIMS) dan Malaysian Muslim Youth Club (MMYC).