fb fb fb fb fb

Rakyat Malaysia di Kathmandu dinasihat kekal berada di rumah

FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR, 11 September - Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu menasihatkan semua rakyat Malaysia di ibu negara Nepal itu supaya kekal berada di dalam rumah susulan lanjutan perintah berkurung oleh kerajaan negara berkenaan.

Menurut kenyataan di laman Facebook kedutaan, pihak berkuasa Nepal melanjutkan perintah berkurung sehingga pukul 6 pagi Khamis, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan kekal ditutup sehingga pukul 6 petang Rabu.

“Semua rakyat Malaysia di Kathmandu dinasihatkan kekal berada di dalam rumah sehingga keadaan kembali pulih,” menurut kenyataan itu.

Mereka yang memerlukan bantuan konsul boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Kathmandu melalui talian +977-1-5445680 atau 9801008000, atau e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Sementara itu, rakyat Malaysia yang terjejas akibat penutupan lapangan terbang dan menaiki penerbangan Nepal Airlines diminta menghubungi syarikat penerbangan itu bagi urusan penjadualan semula penerbangan.

"Untuk tempahan antarabangsa, penumpang boleh menghubungi talian 9843647125, 9841962064, atau 9851055357, manakala bagi urusan jualan tiket antarabangsa, syarikat boleh dihubungi melalui nombor 9851062802, 9849830904, atau 9844540277," menurut kenyataan tersebut.

Kedutaan turut mengingatkan rakyat Malaysia agar terus berwaspada, berada di dalam rumah dan memantau pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Tentera Nepal menguatkuasakan perintah larangan susulan keadaan yang masih tegang sehari selepas protes besar-besaran menggulingkan kerajaan Perdana Menteri KP Sharma Oli.

Sekurang-kurangnya 20 penunjuk perasaan terbunuh manakala hampir 350 lagi cedera sejak Isnin selepas protes tercetus berikutan larangan penggunaan media sosial oleh kerajaan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik sebuah akhbar tempatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE