KUALA LUMPUR, 11 September - Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan melaksanakan 10 inisiatif pengubah keadaan atau game changer di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi mendepani perubahan landskap pasaran buruh.
Menterinya, Steven Sim berkata, langkah itu penting bagi memastikan tenaga kerja negara bersedia menghadapi cabaran susulan kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi, perubahan demografi, ketidaktentuan geopolitik, serta peralihan ke arah ekonomi hijau dan ekonomi gig.
“Sebagai usaha mendapatkan pandangan secara langsung mengenai inisiatif game changer daripada pelbagai pihak, sesi libat urus ini menghimpunkan lebih 1,000 peserta mewakili pelbagai kluster termasuk kementerian, jabatan kerajaan, badan berkanun, syarikat swasta, institusi akademik, sektor e-hailing, badan bukan kerajaan serta persatuan perbankan,” jelasnya.
Terdahulu, Steven Sim merasmikan program Sesi Libat Urus Belanjawan (SLU) Tahun 2026 anjuran KESUMA yang turut dihadiri Timbalan Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad serta pengurusan tertinggi kementerian.
Berkaitan sesi libat urus itu, ia merupakan sebahagian daripada pendekatan inklusif Kerajaan MADANI dalam merangka belanjawan berpaksikan rakyat.
Majlis tersebut menghimpunkan lebih 1,000 peserta merangkumi kementerian, jabatan, badan berkanun, syarikat, institusi akademik, sektor e-hailing, NGO dan persatuan perbankan, membuktikan sokongan padu pelbagai pihak terhadap agenda pembangunan sumber manusia negara.