KUALA LUMPUR, 11 September - Universiti Malaya (UM) melaksanakan pengambilan pelajar baharu melalui dua saluran iaitu saringan Unit Pusat Universiti (UPU) dan tawaran terus secara bersyarat oleh pihak universiti.
Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman berkata tawaran terus bersyarat itu hanya dikeluarkan selepas tamat tempoh rayuan, dengan proses penilaian menggunakan sistem ranking sama seperti UPU.
Menurut beliau, anggaran tempat yang disediakan melalui kaedah tersebut adalah antara 20 hingga 50 calon.
“UM ada saluran terbuka yang kita kenali sebagai conditional offer. Sekitar 30 hingga 50 calon diberi tawaran awal kerana mereka telah memenuhi syarat. Bagaimanapun, surat tawaran hanya dikeluarkan selepas tarikh rayuan.
“Semasa tarikh rayuan, calon akan diranking mengikut kaedah UPU dan akhirnya jumlah keseluruhan pelajar diterima ialah sekitar 150 hingga 160 orang,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas aduan seorang pelajar STPM yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dan merit keseluruhan 99.90 peratus tetapi tidak mendapat tempat dalam program perakaunan UM.
Mengulas lanjut, Noor Azuan menegaskan data yang dikeluarkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman berhubung jumlah 85 tempat bagi program perakaunan UM adalah tepat.
Katanya, jumlah itu terdiri daripada lepasan STPM, matrikulasi, asasi dan diploma, manakala 28 lagi tempat diperuntukkan kepada pelajar feeder UM.
“Ini amalan biasa, di mana UPU memberi peluang kepada UM memilih calon asasi dengan merit yang sama,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan sistem UPU masih relevan kerana mengambil kira semua aspek berasaskan dasar meritokrasi.