fb fb fb fb fb

Tiada kes jenayah, salah laku serius babitkan pelajar TVET

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ BERNAMA

SETIA ALAM, 17 Oktober - Tiada sebarang kes jenayah atau salah laku serius dilaporkan membabitkan pelajar institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), setakat ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, pihaknya sentiasa menekankan aspek disiplin dan tatakelakuan kepada semua pelajar di bawah program berkenaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Setakat ini, tidak berlaku sebarang kekerasan, jenayah atau salah laku dalam kalangan pelajar TVET,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan ASEAN Sports Industry Expo di Setia City Convention Centre di Setia Alam.

Beliau yang juga Pengerusi TVET Negara menjelaskan tatakelakuan menjadi kriteria utama pada setiap sesi pengambilan pelajar TVET.

“Kita sering mengingatkan pelajar mengenai kepentingan disiplin dan etika.

Beliau turut mencadangkan satu dasar khusus untuk industri sukan diperkenal semula bagi memastikan sektor berkenaan terus berkembang dan tidak bergantung kepada perubahan kepimpinan.

Malaysia berpotensi meraih sumber pendapatan baharu negara menerusi pasaran industri sukan dunia yang kini dianggarkan melebihi AS$688 bilion.

“Saya rasa elok jika dasar industri dalam sukan ini dapat diperkenalkan dan dijadikan sebagai satu panduan kerana pasaran industri sukan cukup besar. Ia bukan sahaja untuk negara kita, tetapi juga di peringkat ASEAN", katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata proses pengundian Pilihan raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17, tidak akan menjejaskan Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-27 yang akan bermula 29 November depan.

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu dibuat setelah mengambil kira pelbagai aspek.

“Kemungkinan mereka sudah membuat persiapan dengan UMS, di mana dewan UMS tidak digunakan untuk proses pengundian. Ibu bapa yang datang (ke Istiadat Konvokesyen UMS Ke-27) pun bukan hanya berasal dari Sabah sahaja. Ini kerana mahasiswa UMS terdiri daripada seluruh negara dan saya tidak nampak sebarang masalah mengenainya", katanya.

ROSLINA BINTI DIN