KUALA LUMPUR, 17 Oktober - ASEAN sepakat melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap agenda kerjasama tenaga serantau dengan memberi tumpuan kepada kesinambungan lapan bidang fokus utama yang dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-43.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, penilaian itu turut merangkumi inisiatif di bawah Grid Kuasa ASEAN Power Grid (APG) dan Pelan Tindakan ASEAN bagi Kerjasama Tenaga (APAEC) Fasa III 2026-2030.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, penilaian tersebut akan dijalankan secara berperingkat melalui dua mesyuarat delegasi menteri ASEAN yang dijadual berlangsung pada Jun dan Oktober tahun depan, di bawah kepengerusian Filipina.
“Pada masa itu, kita akan melaporkan pencapaian berdasarkan pelan yang telah digariskan, termasuk kedudukan semasa, perkara yang belum dicapai serta langkah penambahbaikan yang boleh diambil bagi memastikan segala perancangan dan persetujuan yang dibuat hari ini dapat direalisasikan tahun hadapan."
"Ini bermakna akan ada kesinambungan daripada apa yang telah kita laksanakan pada AMEM kali ini.” katanya dalam sidang media bersempena penutupan AMEM ke-43 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Beliau menambah, proses integrasi tenaga Timor-Leste, termasuk potensi dan sokongan teknikal bagi membantu negara itu memperkukuh peranan dalam kerjasama tenaga ASEAN akan diberi tumpuan pada tahun depan.