fb fb fb fb fb

Aktiviti luar, program komuniti kurangkan isu sosial pelajar

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy ditemui selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records di Kuala Lumpur/RTM

KUALA LUMPUR, 17 Oktober - Aktiviti luar bilik darjah dan program berasaskan komuniti perlu diperkasa di sekolah sebagai langkah proaktif membendung peningkatan isu sosial dalam kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata, pembabitan pelajar dalam aktiviti luar tidak hanya membentuk disiplin dan jati diri, malah mengurangkan kecenderungan mereka untuk terlibat dalam gejala negatif.

"Aktiviti di luar bilik darjah sangat penting supaya anak-anak terdedah bukan saja dari segi ilmu dan tetapi juga dari segi pengalaman. Kita ada banyak program di Arkib Negara dan Muzium Negara. Mereka boleh datang dan menghayati sejarah dan perjuangan negara kita.

"Mereka boleh membina jati diri untuk menjadi rakyat atau warganegara yang lebih bermakna dan berguna kepada negara," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada Raaji Silk Palace sebagai ‘Rangkaian Peruncit Pakaian Tradisional India Terbanyak’ di Kuala Lumpur.

Tambahnya, pendekatan holistik melibatkan kerjasama antara ibu bapa, pihak sekolah, agensi kerajaan serta komuniti amat penting dalam menangani isu tersebut.

Beliau mengulas mengenai beberapa kejadian tragis melibatkan pelajar sekolah kebelakangan ini, termasuk kes buli, pergaduhan dan salah laku disiplin.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ