fb fb fb fb fb

AKPS perluas operasi di 125 pintu masuk sempadan menjelang Januari 2026

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 17 Oktober – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kini melangkah ke fasa kedua pelaksanaan pengambilalihan baki pintu masuk antarabangsa yang masih aktif di seluruh negara.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam fasa pertama, agensi itu telah mengambil alih 22 pintu masuk antarabangsa dengan kekuatan hampir 3,000 pegawai daripada agensi sedia ada.

“Kini jumlah keseluruhan anggota AKPS termasuk di ibu pejabat meningkat kepada lebih 6,200 orang dan baru-baru ini kita turut menerima penempatan 1,053 pegawai kastam,” katanya dalam sidang media selepas Sesi Townhall 100 Hari Ketua Pengarah AKPS di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah peluasan itu bertujuan memastikan sistem kawalan dan fasilitasi sempadan negara dilaksanakan dengan lebih seragam, bersepadu dan efisien.

Ia dijangka selesai menjelang Januari 2026, sekali gus menjadikan keseluruhan 125 pintu masuk antarabangsa berada sepenuhnya di bawah pengurusan AKPS.

Sejak beroperasi sepenuhnya pada 1 Januari lalu, AKPS telah mengambil alih fungsi dan jawatan daripada enam agensi utama di pintu sempadan dan pusat pemeriksaan negara iaitu Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Kementerian Kesihatan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata, selain pengambilalihan operasi, AKPS turut memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi sempadan pintar serta pengukuhan sumber manusia bagi memperkukuh keselamatan dan integriti di semua pintu masuk negara.

Sementara itu, beliau menyambut baik rancangan kerajaan melantik veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengisi kekosongan jawatan dalam AKPS.

Menurutnya, pengalaman luas veteran dalam bidang keselamatan dan pertahanan negara amat diperlukan untuk memperkukuh disiplin serta membanteras rasuah di pintu sempadan.

“Proses pelantikan ini akan diperhalusi bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM kerana data mereka berada di bawah jabatan itu.

"Kita memilih Veteran kerana mereka sudah memiliki disiplin serta pengalaman dalam konteks keselamatan dan pertahanan negara," katanya.

Beliau yakin dengan sokongan padu KDN serta semangat kerja berpasukan warga AKPS, agensi itu akan terus menjadi benteng utama negara dalam menjaga keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan rakyat.

ROSLINA BINTI DIN