TANJUNG MALIM, 17 Oktober - Jenazah Mustaqqeem Mansoor yang ditemukan di Gunung Liang, dekat Tanjong Malim semalam, berjaya dibawa keluar oleh Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) pada 2.45 petang tadi.
Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata jenazah dibawa turun dari puncak gunung berketinggian 1,933 meter menggunakan helikopter AW189.
Operasi itu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Zairul Fahmi Mohd Nazari.
"Operasi membawa turun mangsa terpaksa ditangguhkan pada pukul 2.30 petang tadi apabila anggota penyelamat menghadapi kesukaran disebabkan faktor cuaca, iaitu hujan dan awan tebal di sekitar puncak gunung." katanya dalam kenyataan.
Mayat mangsa dibawa naik ke pesawat pada pukul 2.45 petang oleh anggota menggunakan teknik winching sebelum diterbangkan ke Padang Kawad Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk diserahkan kepada polis bagi tindakan selanjutnya.
Semalam, Mustaqqeem Mansoor, 34 tahun ditemui maut selepas hilang sejak 14 Oktober lalu ketika melakukan aktiviti mendaki di Gunung Liang, Tanjung Malim.
Mangsa kali terakhir dilihat pada pukul 10.30 malam di Puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan cedera.