SHAH ALAM, 17 Oktober - Sebanyak RM184,700 disalurkan kepada mangsa ribut yang terkesan di Kuala Langat, baru-baru ini.
Sumbangan itu merupakan hasil koordinasi tiga agensi utama bawah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berharap kerja-kerja pemulihan dipercepat.
Ini terutama membabitkan surau dan kemudahan sekolah berikutan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
"Pelajar-pelajar ini akan menduduki UPKK KAFA. Kita akan selaraskan dengan agensi yang lain untuk memastikan segala kerosakan akan dapat dibaiki secepat mungkin.
"Ini bagi memastikan pelajar boleh menduduki peperiksaan dalam keadaan yang selesa," katanya.
Untuk rekod, sebanyak RM86,400 diperuntukkan JAKIM untuk 13 keluarga pelajar yang terlibat dan kos membaiki semula surau.
Yayasan Taqwa pula menyalurkan RM65,000 manakala Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyumbang RM33,300 termasuk bakul makanan, bantuan tunai dan sokongan pemulihan surau.
Datuk Dr. Mohd Na’im turut menziarahi penduduk, keluarga, pelajar yang cedera serta surau Sekolah Rendah Agama Kampung Medan yang rosak teruk akibat kejadian.
Beliau menyeru agar masyarakat, masjid, surau, badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta untuk bersama-sama membantu, memperkukuh ukhuwah dan solidariti komuniti.
Katanya, bantuan itu mencerminkan prinsip Ihsan dalam gagasan Malaysia MADANI, yang mengutamakan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat tanpa mengira latar belakang.