KULIM, 10 Mac- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan tiada keperluan untuk melanjutkan tempoh proses pengambilan pekerja asing oleh majikan yang mendaftar Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.
Menurut beliau perkara tersebut tidak perlu dilengahkan memandangkan proses yang perlu dilaksanakan oleh majikan dalam pengambilan tenaga kerja asing telah dipermudah. Ia termasuk tidak perlu lagi memohon visa pekerja melalui ejen.
"Apabila seorang majikan memerlukan pekerja asing, dia akan memohon kuota daripada Kementerian Sumber Manusia. Apabila kuota diluluskan dia akan membayar levi kepada imigresen, selepas itu akan mohon Visa Dengan Rujukan (VDR).
"Sekarang ini ID untuk memohon visa dengan rujukan telah diberikan kepada majikan dan memohon imigresen. Majikan yang isi permohonan visa. Sekiranya cepat dilakukan, maka proses tersebut juga akan segera selesai proses permohonan itu hanya mengambil masa dua hari bekerja. Jadi tidak timbul isu keperluan anjak tarikh tutup RTK itu," katanya kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah Bersama-sama Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim di sini hari ini.
Saifuddin berkata demikian ketika mengulas desakan pihak majikan yang mahu kerajaan membatalkan keputusan mempercepat tarikh akhir pengambilan pekerja asing.
Dalam perkembangan lain beliau turut menyarankan supaya kesemua program mengimarahkan masjid terutama sepanjang Ramadan ini dapat menyelitkan kesedaran berhubung 3R (agama, kaum, diraja).
Perkara itu berikutan banyak hantaran yang dimuat naik oleh individu menerusi media sosial menyentuh perkara berkenaan.
"Amalan hantaran dalam sosial media yang menyentuh tentang 3R itu perlu dinasihati supaya masyarakat mengambil sikap lebih berjaga-jaga, maka itu akan dapat membantu tugas polis.
"Hari ini polis mewujudkan pasukan petugas khas di bawah Bukit Aman terus. Maknanya sebarang aduan yang jatuh dalam kategori 3R ini, arahan Ketua Polis Negara adalah semua kertas siasatan mesti selesai dalam satu minggu," katanya.
Setakat hari ini PDRM menerima kira-kira 170 aduan berkaitan isu berkenaan, namun 87 daripadanya telah siap dan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara manakala selebihnya akan disiasat.
Berkenaan penyebaran berkaitan 3R menerusi aplikasi media sosial seperti Whatapps dan Telegram, pihaknya tidak menolak untuk menjalankan siasatan terhadap aduan yang dilaporkan.
"Tindakan masih boleh diambil kerana aplikasi media sosial sperti Whatapps, TikTok, Facebook, dan Instagram adalah satu medium. Jadi sekiranya berlaku perkongsian mesej itu masih lagi tertakluk bergantung kepada aduan berserta bukti yang diberikan," katanya.