PENGKALAN BATU, 9 Mac- Tiada isu timbul mengenai projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) terbengkalai di Melaka, sebaliknya masih terdapat perkara yang perlu dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri Johor.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka berhubung dengan SUK Johor melalui exco berkaitan bagi menyelesaikan beberapa perkara berkaitan projek tersebut.
"Setakat ini, tiada sebarang isu yang timbul cuma masalah air sungai yang mengalir ini dia melibatkan kedua-dua buah negeri. Jadi, kita perlu selesaikan di peringkat negeri.
Jika ia dapat diselesaikan maka Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dilaksana akan berjalan lancar. Walau bagaimanapun, wujud permasalahan ini, RTB yang kita buat tetap kita jalankan," kata Sulaiman kepada pemberita RTM selepas Program Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri di Japerun Pengkalan Batu.
(Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ditemui pemberita pada Program Hari
Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri di Japerun Pengkalan Batu)
Sebelum ini, timbul isu mengatakan RTB Sungai Rambai-Sungai Kesang terbengkalai sejak enam tahun lalu.
Ia menjadi punca beberapa kawasan sekitar berkenaan kerap mengalami banjir hingga menyebabkan fenomena banjir termenung.