fb fb fb fb fb

PBT diseru beri tumpuan selesai isu perancangan bandar- PM

(Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyempurnakan
perasmian Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 9 Mac- Pihak berkuasa tempatan (PBT) diseru untuk memberi tumpuan dan menyelesaikan isu berkaitan perancangan bandar atau kota besar bagi memastikan ia seimbang dengan pembangunan serta memenuhi keselesaan penduduk.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keadaan di bandar yang agak sesak serta kewujudan rakyat miskin bandar menunjukkan kelemahan dalam perancangan dan pembangunan di kawasan bandar.

"Kita lihat umpamanya keadaan tidak terkawal dan lebih parah apabila ada kesenjangan kerana kota juga menzahirkan kawasan sesak, kawasan miskin bandar. Maknanya perancangan kita ada kelemahannya.


(Perdana Menteri berucap pada Majlis Pelancaran Festival Taman Kuala Lumpur 2023
di Taman Tasik Titiwangsa/BERNAMA)

"Kita bangunkan bangunan yang tersergam indah, projek-projek mega kerana itu perlu untuk membangunkan (negara), tetapi kita lupa bahawa yang bekerja itu juga memerlukan perumahan dan ketinggalan.

"Akhirnya apabila hendak bangunkan perumahan, kos telah meningkat, kos tanah melambung tinggi. Jadi perancangan di kota kota besar sangat penting", katanya ketika berucap pada Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Datuk Seri Anwar mengingatkan PBT supaya bertanggungjawab untuk menyediakan kemudahan, mengindahkan warung dan gerai kecil di bandar.

Sekali gus, ia perlu meliputi kota yang memberi manfaat dari segi kebersihan, kesihatan dan kemudahan kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah kerana mengerahkan jentera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan isu berkaitan gerai dan warung.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perancangan di bandar atau kota besar amat penting, selari dengan konsep Malaysia Madani.

Media Baharu