fb fb fb fb fb

Tiada hukuman buat ibu bapa anak bawah 16 tahun buka akaun media sosial setakat ini

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR, 24 November - Kementerian Komunikasi menjelaskan tidak ada sebarang keputusan dibuat di peringkat kementerian atau kabinet sama ada akan mengenakan hukuman kepada ibu bapa yang membenarkan anak mereka berusia 16 tahun ke bawah membuka akaun media sosial selepas peraturan mengenainya dilaksanakan kelak.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata kerajaan mempunyai keazaman politik untuk menangani masalah ketagihan media sosial dan internet dalam kalangan kanak-kanak, namun sebarang keputusan mengenainya memerlukan perbincangan teliti dan konsensus.

“Apabila kita mengatakan kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah tidak dibenarkan membuka akaun media sosial, itu tidak bermakna mereka tidak boleh menggunakan internet langsung. Perkara ini berbeza. Ibu bapa masih ada tanggungjawab untuk mendidik anak-anak.

"Contohnya, YouTube Kids menyediakan kandungan yang baik, tetapi ibu bapa perlu mengawal masa tontonan, seperti setengah jam sehari, atau memilih untuk tidak membenarkan.

“Isu timbul apabila ibu bapa hanya memberikan telefon bimbit tanpa mengawasi kandungan yang ditonton. Adakah kita perlu mengenakan hukuman atau mengambil tindakan terhadap ibu bapa? Setakat ini, tiada keputusan dibuat di peringkat kementerian atau Kabinet. Dalam isu seperti ini, perbincangan teliti dan konsensus adalah sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ahli Parlimen Bayan Baru ,semasa sesi penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 bagi Kementerian Komunikasi di Parlimen .

AZRUL FAIZAL JUSOH