fb fb fb fb fb

Tiada halangan import produk pertanian dan perikanan dari Jepun

KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Kerajaan tidak menghalang sebarang aktiviti mengimport produk pertanian dan perikanan dari Jepun.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau tahap isu keselamatan makanan.

Ini termasuk pemeriksaan radiasi dan mengesahkan produk perikanan yang diimport dari negara ‘Matahari Terbit’ itu selamat untuk dimakan.

Produk perikanan yang datang dari Jepun dikategorikan di tahap empat iaitu yang paling diambil perhatian.

“Bagaimanapun kita letak sebarang perikanan yang datang daripada Jepun di tahap empat iaitu peringkat yang kita paling ambil perhatian. Jadi makanlah sebarang ikan yang datang dari Jepun, selamat,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan Jepun Miyashita Ichiro, di sini.

Sebelum ini, beberapa negara membangkitkan kebimbangan susulan tindakan Tokyo melepaskan air radioaktif dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.

Tindakan tersebut mendorong China, Hong Kong dan Korea Utara mengambil tindakan segera menyekat produk hasil laut negara itu

(Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu)

Mengulas mengenai sama ada terdapat kemungkinan negara akan meningkatkan import beras dari negara pembekal ASEAN yang lebih murah kosnya, Mohamad berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

“Bernas lebih mengetahui dan kita akan bincang dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu Mohamad berkata Kabinet akan membuat keputusan berkaitan subsidi ayam dan telur dalam masa terdekat selepas beliau membentangkan situasi terkini bahan mentah tersebut pada mesyuarat pagi tadi.

“Sekarang ayam dan telur keadaan sudah stabil, harga di bawah siling. Jadi mungkin Kabinet akan buat keputusan sesuatu. Kita tunggu keputusan tersebut,” katanya.


Media Baharu