SEREMBAN, 4 Oktober-Negeri Sembilan dianggarkan mempunyai sumber unsur nadir bumi (REE) dengan anggaran nilai RM30 bilion
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah anggaran itu berdasarkan kajian awal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang dijalankan di negeri itu, namun lokasi sumber nadir bumi berkenaan belum dimuktamadkan.
Jelasnya, kerajaan negeri akan memperincikan prosedur operasi standard (SOP) sebelum memulakan aktiviti perlombongan yang dijangka bermula seawal tahun depan.
"Buat masa ini belum ada kelulusan jadi, ia hanya akan melibatkan tanah individu,persendirian tanah syarikat, atau tanah kerajaan negeri.
"Jadi ini antara perkara yang sedang kerajaan negeri lihat bagaimana perlu ada 'one stop centre' (pusat sehenti) bagi memastikan REE dapat dikawal", kata Amiruddin pada sidang media pasca Mesyuarat Exco di sini.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, kerajaan negeri kini dibenarkan membuat penerokaan awal unsur nadir bumi (REE), berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada untuk perlombongan nadir bumi dan mineral.
(Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun/FOTO RTM)