KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Malaysia sudah menghantar surat kepada Indonesia bagi menangani masalah jerebu yang melanda negara.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu susulan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya usaha menangani masalah jerebu rentas sempadan di selaraskan antara negara-negara Asean.
"Kita telah pun menghantar surat kepada menteri sejawat saya..sebagaimana yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semalam, jadi kita susuli surat kelada beliau," kata Nik Nazmi pada majlis bersempena Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023, di Ibu Negara.
Menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) kendalian Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat petang tadi, kualiti udara di dua kawasan di Sarawak berada pada tahap tidak sihat iaitu Sri Aman merekodkan bacaan IPU 138 manakala Serian mencatatkan 113.
Ketika ini semua negara ASEAN, sudah meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Terdahulu, Nik Nazmi berkata Pavilion Malaysia akan diwujudkan pada Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2023 (COP28) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 30 November hingga 12 Disimber depan, bagi memaparkan penyelesaian domestik dalam menangani perubahan iklim.
Beliau berkata Pavilion Malaysia di COP28 itu juga akan menampilkan topik dan isu kritikal seperti peralihan tenaga yang adil, mitigasi, adaptasi dan kewangan yang mampan.
"Ia bukan hanya struktur fizikal, tetapi juga demonstrasi jelas komitmen dan kerja keras kita dalam menangani perubahan iklim. Ia akan merangkumi semangat kerjasama iaitu aspek penting dalam budaya Malaysia.
Nik Nazmi berkata pavilion itu turut mempamerkan input daripada Panel Penasihat Perubahan Iklim dan Panel Perundingan Perubahan Iklim, yang ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi meningkatkan penyertaan Malaysia pada COP28.
"Pada mulanya kita mahukan perkara berkaitan COP, namun kita sudah tubuhkan (panel penasihat) tentang perubahan iklim (kerana) ia perlu melangkaui COP untuk melihat bagaimana kita mereka bentuk dasar berhubung perubahan iklim," katanya.

Beliau berkata input berkenaan juga disumbangkan bukan hanya dalam kalangan kementerian utama, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sektor swasta, institusi kewangan dan akademik melalui panel penasihat, tetapi juga daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat yang mudah terjejas, belia dan kanak-kanak menerusi panel perundingan.
"Segelintir daripada mereka mengingatkan bahawa kita perlu melebihkan kanak-kanak, kini kita perlu melihat kanak-kanak sebagai pihak berkepentingan terbesar …. Kita perlu melibatkan kanak-kanak bukan hanya untuk mengajar tetapi juga mendidik ibu bapa mereka tentang perubahan iklim.
"Peralihan tenaga yang adil adalah penting, cukai karbon sedang diteliti oleh Kementerian Kewangan dan kita juga melihat kepada isu dan pampasan Loss and Damage, serta penyelesaian berasaskan semula jadi dalam meningkatkan tindakan perubahan iklim dan memperkasakan pihak berkepentingan sebagai input," katanya.
Nik Nazmi berkata penyertaan Malaysia pada COP28 ialah legasi berkekalan dalam pembangunan mampan dan tindakan iklim.
"Kami sudah melihat negara lain apabila mereka menginstitusikan agensi perundangan yang boleh melangkaui sebarang individu dan kerajaan, ia penting untuk memastikan kita mencapai kata sepakat tentang apa yang boleh kita lakukan bagi menangani perubahan iklim," katanya.