IPOH, 4 Oktober - Sebanyak 2,179 kes jenayah komersial direkodkan di negeri Perak sejak Januari hingga 30 September lalu, melibatkan nilai kerugian lebih RM77 juta.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu iaitu 2,053 kes membabitkan lebih RM100 juta.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam tempoh sama tangkapan ke atas 1,096 orang telah dilakukan dengan pelbagai modus operandi kesalahan.
"Kebanyakan tangkapan merupakan pemilik akaun-akaun keldai.
"Untuk tempoh tersebut juga, sebanyak 764 pertuduhan ke atas tangkapan telah dibuat," kata Mohd Yusri, di sini.
Pelbagai aktiviti pencegahan giat dijalankan dalam usaha memerangi jenayah penipuan dalam talian khususnya.
Sejumlah 858 aktiviti dan program pencegahan telah dibuat menggunakan pelbagai platform.
(Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri)