KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Malaysia dan Arab Saudi mengadakan perbincangan bagi menjadikan negara ini sebagai hab transit pilihan untuk jemaah umrah yang melakukan perjalanan ke Arab Saudi, melalui Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perkara berkenaan dibangkitkan semasa mesyuarat antara Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman serta ketua pegawai eksekutif Lembaga Pelancongan Saudi Fahd Hamidaddin di Riyadh, Arab Saudi baru-baru ini.
MOTAC dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat itu membincangkan bidang-bidang yang dilihat berpotensi untuk kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi bagi manfaat bersama.
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata MOTAC yakin inisiatif bagi menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi jemaah umrah akan dapat memacu dan melonjakkan industri pelancongan negara.
Selain itu, Malaysia juga boleh menawarkan pakej pelancongan mesra Muslim kepada jemaah haji yang secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan negara.
Sekali gus memperkenalkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan Muslim global.
(FOTO HIASAN/FOTO RTM)