fb fb fb fb fb

Tiada campur tangan politik isu pelantikan hakim - PM

Perdana Menteri (tengah) ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

PUTRAJAYA, 30 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menafikan dakwaan beliau mencampuri urusan pelantikan atau penyambungan kontrak penjawat awam, termasuk dalam institusi kehakiman.

Ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, beliau menyuarakan rasa kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang mempolitikkan isu tersebut hingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Bila institusi yang sepatutnya bebas dan ada integriti dipolitikkan, maka wujud kempen sambung ini, jangan sambung itu. Bila disambung, kata kianat. Bila tak disambung, pun dikata kianat. Ini tidak wajar berlaku,” katanya.

Beliau menegaskan, proses pelantikan termasuk di badan kehakiman, tertakluk kepada prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan dan bukan kuasa mutlak Perdana Menteri.

“Ada yang kata ini kuasa mutlak Perdana Menteri. Tidak. Kalau kita faham Perlembagaan, kita tahu ada proses. Semua hal itu perlu diikuti. Jadi, bukan ikut selera politik atau desakan kumpulan tertentu,” ujarnya.

Mengulas isu keputusan mahkamah dalam kes-kes berprofil tinggi, Perdana Menteri turut menolak dakwaan beliau terlibat dalam keputusan penghakiman, termasuk dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mencetuskan kontroversi.

“Kalau dapat DNAA (dilepas tanpa dibebaskan), kata Perdana Menteri campur tangan. Kalau tak dapat pun kata salah."

"Semua jadi isu politik. Saya kata, itu bukan urusan saya. Pandangan peribadi saya bukan keutamaan, kita mesti hormat proses dan keputusan kehakiman,” jelas beliau.

Perdana Menteri turut memberi peringatan agar institusi seperti badan kehakiman dan perkhidmatan awam tidak dijadikan medan percaturan politik atau dipengaruhi mana-mana pihak berkepentingan.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN