PUTRAJAYA, 30 Jun - Pembangunan Kota MADANI bukan sekadar projek perumahan biasa, sebaliknya satu pendekatan menyeluruh bagi menyediakan persekitaran hidup berkualiti kepada penjawat awam dan rakyat pada masa hadapan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek itu antara lain bertujuan mengatasi isu kekurangan perumahan penjawat awam, selain memperkenalkan konsep pembangunan bandar moden berteraskan nilai MADANI.
"Kita tahu ribuan unit rumah rosak sudah dibaik pulih dan diduduki. Tapi permintaan terus meningkat, jadi kita mulakan Kota Madani dengan 3,000 unit fasa pertama, dan fasa kedua akan lengkapkan 10,000 unit.
"Bukan sekadar rumah, tetapi ada sekolah, masjid, gimnasium dan kawasan hijau, sebuah kota moden yang selesa," katanya dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Anwar menyatakan kerajaan terbuka menerima sebarang kritikan berhubung peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun menegaskan pandangan tersebut mestilah berasaskan fakta dan bukannya tohmahan.
Jelas beliau, keputusan Jemaah Menteri untuk memperluaskan SST dibuat secara berhati-hati agar tidak membebankan rakyat secara keseluruhan.
"Tiada kenaikan kadar elektrik kecuali bagi 10 hingga 15 peratus golongan tertinggi. Universiti awam pun dikecualikan. Jadi kalau ada yang terbeban, saya harap semak semula," ujarnya.