fb fb fb fb fb

Tiada cadangan bina terowong di laluan FT185

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR, 27 Ogos - Kementerian Kerja Raya tidak bercadang untuk membina terowong di laluan Jalan Persekutuan FT185, buat masa ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan terowong memerlukan kajian teknologi yang mendalam, termasuk analisis batuan, tekanan tanah dan sistem saliran bawah tanah.

Bagi memastikan kestabilan cerun yang optimum serta mengurangkan risiko runtuhan tanah atau gelongsoran, pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pencegahan ke atas cerun berisiko sangat tinggi dan tinggi.

Kerja penyenggaraan rutin turut dilaksanakan ke atas cerun-cerun berisiko sangat tinggi dan tinggi.

"Pada masa ini, teknologi dron telah dimanfaatkan secara meluas bagi tujuan pemetaan tofografi serta penilaian kaedah atau keadaan jalan raya dan cerun dengan lebih tepat dan efisien.

"Seiring dengan teknologi digital, pelbagai inovasi seperti analisis data, pemprosesan imej dan sistem pemantauan berasaskan sensor telah mula digunakan dalam sektor penyelenggaraan dan infrastruktur.

"Jadi dalam hal ini, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) akan dapat membantu agensi bawah kementerian, khususnya Jabatan Kerja Raya dalam usaha memantau keadaan jalan raya dan cerun secara berterusan," katanya semasa menjawab soalan tambahan Wakil Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim di Dewan Rakyat.

MASNIZA AWANG KECHIK