fb fb fb fb fb

Malaysia komited teroka kerjasama tenaga dengan Korea Selatan

Turbin keluaran Doosan Enerbility menjadi antara teknologi yang dinilai Malaysia bagi memenuhi keperluan tenaga menjelang 2030. Foto- RTM

BUSAN, 27 Ogos - Malaysia komited meneroka kerjasama serantau bagi memenuhi tambahan tenaga sebanyak 8,000 megawatt menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Malaysia berminat mempelajari pengalaman Korea Selatan dalam pembangunan tenaga boleh baharu, khususnya turbin angin luar pesisir.

“Di Malaysia kita akan membina banyak lagi loji tenaga. Loji tenaga ini memerlukan turbin dan kita mengharapkan Korea Selatan turut terlibat serta membantu. Buat masa ini untuk mendapatkan turbin agak mencabar, sebab itu kita berjumpa dengan mereka,” katanya selepas melawat Syarikat Doosan Enerbility di Busan, hari ini.

Lawatan itu bertujuan menilai kepakaran Korea Selatan dalam pembuatan turbin selain membincangkan peluang kerjasama bagi menyokong keperluan tenaga Malaysia.

Doosan Enerbility merupakan syarikat terkemuka Korea Selatan yang menghasilkan turbin gas, wap dan nuklear serta mengeksport teknologi ke pelbagai negara termasuk Arab Saudi dan Republik Czech.

Datuk Seri Fadillah menambah, Malaysia turut melihat potensi kerjasama dengan Korea Selatan dalam bidang teknologi nuklear, pembangunan modal insan, pemindahan teknologi serta aspek keselamatan tenaga.

Beliau turut berharap memorandum persefahaman dengan kerajaan Korea Selatan dapat dimeterai seawal Oktober atau November ini.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN