fb fb fb fb fb

Tiada aduan berkaitan kenaikan harga ayam di Melaka

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Rohaimi Mohamed Zawawi

BANDA HILIR, 9 November - Melaka setakat ini tidak menerima aduan berkaitan kenaikan harga ayam, selepas seminggu kerajaan mengambil langkah mengapungkan harga makanan basah itu.

Menurut Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Rohaimi Mohamed Zawawi, hasil pemantauan pihaknya mendapati rata-rata harga yang ditawarkan tidak melebihi harga RM9.40 sekilogram.

Pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan mengenai caj-caj yang tidak munasabah seperti caj pemotongan.

"Apabila kita semak bekalan mencukupi, bekalan banyak dan harga yang daripada ladang pun murah lah, harga di pasaraya dan di pasar basah, harga di pasaraya jauh lebih rendah kerana di pasaraya banyak barang yang ditawarkan berbanding pasar yang mengeluar ayam sahaja, jadi ia boleh menawarkan harga yang lebih rendah lah," kata Rohaimi kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 di sini, oleh Exco Hal Ehwal Pengguna Negeri, Allex Seah Shoo Chin.

Dalam pada itu Rohaimi berkata kira-kira RM 1.7 juta nilai rampasan direkodkan di negeri itu bagi tempoh Januari hingga 7 November lalu, dengan RM55,200 nilai kompaun.

Pihaknya turut menerima 1,043 aduan dengan jumlah keseluruhan premis diperiksa ialah 25,756.

"Aduan untuk Akta Kawalan Harga kalau kita lihat lebih kepada tiada tanda harga, menjual melebihi harga yang ditetapkan dan mungkin ada harga mengelirukan," katanya lagi.

TETITIA YUSOFF