fb fb fb fb fb

Thailand tegaskan empat pendekatan tangani krisis kemanusiaan, politik Myanmar

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Thailand menegaskan empat pendekatan utama dalam usaha menangani krisis kemanusiaan dan politik di Myanmar, menerusi perbincangan bersama Menteri-Menteri Luar ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura, berkata empat pendekatan itu menekankan kepentingan bantuan kemanusiaan, dialog inklusif, penglibatan konstruktif dengan pihak berkepentingan serta pengukuhan peranan Special Envoy ASEAN terhadap Myanmar.

"Berhubung situasi di Myanmar, Thailand menegaskan empat pendirian utama. Pertama, keutamaan diberikan kepada penyediaan bantuan kemanusiaan sebagai langkah penting ke arah dialog inklusif dan keamanan di Myanmar.

"Kedua, menyeru agar dialog melibatkan semua pihak bagi memastikan pilihan raya Myanmar pada Disember 2025 dijalankan secara bebas, adil dan telus, sambil mengekalkan dialog berterusan selepas pilihan raya sebagai elemen penting dalam proses perdamaian," katanya di sini.

Selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dan menggalakkan dialog inklusif, Thailand juga menekankan pentingnya hubungan konstruktif antara ASEAN, negara jiran dan rakan luar bagi memastikan keamanan jangka panjang di Myanmar.

Jelasnya lagi, Thailand menekankan keperluan menggalakkan penglibatan konstruktif antara pihak berkepentingan di Myanmar dengan ASEAN, selain memperkukuh keberkesanan dan kesinambungan peranan perutusan khas ASEAN.

Jelasnya, Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow juga telah menghadiri dua mesyuarat penting 'Extended Informal Consultation on Myanmar' dan 'ASEAN Ministerial Meeting (AMM)' yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan 'Five-Point Consensus' (5PC) serta peranan berterusan ASEAN dalam memastikan proses damai di Myanmar diteruskan.

Thailand menegaskan komitmen untuk memperkukuh perpaduan dan sentraliti ASEAN dalam mencari penyelesaian aman, inklusif dan berkekalan terhadap krisis Myanmar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM