fb fb fb fb fb

Kerajaan MADANI perkukuh keterjaminan makanan di Sabah

FOTO FB MOHAMAD SABU

PITAS, 25 Oktober - Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara dengan memberi tumpuan khusus kepada transformasi sektor pertanian di Sabah, terutamanya dalam meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara menjelang tahun 2030.

Ia termasuk mengiktiraf peranan penting para pesawah, petani, dan peladang di daerah Pitas sebagai benteng utama keterjaminan makanan di Sabah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri menjadi pemangkin utama kepada usaha memperkasa sektor pertanian Sabah agar kekal berdaya saing dan moden.

"Kadang-kadang datang musim yang tidak menentu. Sebab itu keterjaminan makanan terutama sekali kalau ia hanya tak boleh diusahakan di satu tempat. Misalnya di Semenanjung. Mesti diusahakan di Sabah dan Sarawak.

"Dalam satu negara kita saling lengkap-melengkapi. Insya-Allah. Anak-anak muda sudah tak malu menyebut… Saya buat pertanian.. Dia turun. Saya memelihara ikan. Dan mereka mencapai pendapatan yang agak baik. Ini satu fenomena baru yang berlaku di Malaysia sekarang. Sebelum ni ada, bukan tak ada. Tapi sekarang lebih tumbuh anak-anak muda yang cenderung masuk terus dalam bidang pertanian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Lawatan Sesi Libat Urus Bersama Pesawah Padi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pitas di Kampung Kabatasan di sini.

Beliau turut menyeru agar golongan muda melihat pertanian sebagai kerjaya utama yang berpotensi menjana pendapatan stabil dan masa depan mampan, bukan lagi sekadar pekerjaan sambilan.

Beliau menekankan bahawa bidang pertanian kini mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara profesional.

Mengambil contoh dari beberapa negeri seperti Selangor, anak-anak muda sudah mula mengusahakan sawah secara besar-besaran, antara 40 hingga 50 hektar yang mana pendapatan mereka sangat memuaskan.

Beliau berkata perkembangan itu membuktikan semakin ramai golongan muda tidak malu menceburi bidang pertanian, termasuk akuakultur, penternakan dan tanaman kontan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM