fb fb fb fb fb

Presiden Majlis Eropah adakan lawatan kerja ke Malaysia bermula hari ini

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 25 Oktober - Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia bermula hari ini sehingga 28 Oktober.

Lawatan itu atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 serta sidang-sidang berkaitan sebagai tetamu pengerusi.

Ini merupakan lawatan sulung Costa ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan sebagai Presiden Majlis Eropah pada Disember tahun lalu.

Costa juga dijangka menghadiri Majlis Pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan itu esok, selain menghadiri sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 untuk menyampaikan ucapan bertajuk “Halatuju Masa Hadapan Hubungan Dialog ASEAN–Kesatuan Eropah (EU)”.

Perdana Menteri dan Costa turut dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-EU, hubungan dialog ASEAN-EU dan isu serantau dan antarabangsa.

Costa turut dijemput menghadiri Majlis Jamuan Gala yang dianjurkan oleh Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan EU mencatatkan nilai sebanyak RM218.91 bilion tahun lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Momentum positif itu diteruskan bagi lapan bulan pertama tahun ini dengan jumlah perdagangan mencecah RM145.60 bilion.

Lawatan berkenaan dilihat mampu menzahirkan hubungan Malaysia–EU yang kukuh dan strategik, berteraskan kepercayaan, kemakmuran serta visi bersama ke arah sistem antarabangsa yang stabil serta berasaskan peraturan dan mampan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM