fb fb fb fb fb

TH sasar tarik 10,000 pengunjung Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Muslim 2024

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 15 Januari- Sebanyak 25 syarikat pelancongan Bumiputera akan menyertai Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Muslim kali kedua anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) bersama Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputra Malaysia (Bumitra Malaysia) di hotel Movenpick KLIA, Sepang, bermula dari 19 hingga 21 Januari ini.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata kesemua syarikat tersebut telah diberikan lesen oleh TH untuk mengendalikan pakej haji swasta pada musim haji tahun 2024.

Beliau berkata, karnival tersebut dianjurkan bertujuan mendekati bakal jemaah dengan maklumat terbaharu termasuk latar belakang pengelola jemaah haji (PJH) swasta, pakej-pakej yang ditawarkan, harga pakej, hotel penginapan serta pembimbing jemaah ketika di tanah suci.

"Pihak Tabung Haji telah pun meminta supaya semua PJH mengadakan pakej rahmah seperti tahun lepas dan mereka semua menyambut baik usaha ini dan mereka semua akan mengadakan pakej rahmah seperti tahun lepas dimana harga pakejnya ialah bawah RM50,000,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 2024 di Kuala Lumpur.

Turut hadir, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun KC Ahmmu.

Karnival itu akan diadakan bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam pada 19 hingga 20 Januari manakala pada 21 Januari pula ia diadakan bermula pukul 9 pagi dan akan berakhir pada pukul 6 petang.

Sebanyak 140 pempamer termasuk Bank Islam, Malaysia Airlines, Saudi Tourism Board serta 25 syarikat PJH akan menyertai karnival itu dengan menyediakan promosi pakej haji, pelbagai perkhidmatan dan produk yang menarik kepada pengunjung.

TH turut menyasarkan 10,000 pengunjung bakal hadir dalam karnival tersebut.

Sementara itu, TH akan mengeluarkan surat tawaran menunaikan rukun Islam kelima itu bagi musim 1445H/2024 kepada mereka yang layak tidak lama lagi.

Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata TH sedang dalam proses terakhir sebelum mengumumkannya kepada mereka yang layak.

Beliau berkata pihak TH akan membuat pengumuman berkaitan isu tersebut dalam waktu terdekat.

Tahun ini kerajaan Arab Saudi mengekalkan kuota haji jemaah Malaysia iaitu 31,600 orang sebagai kuota penuh yang diluluskan.

Syed Saleh berkata, lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) sudah diserah kepada 25 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi pada musim haji kali ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE