KUALA LUMPUR, 15 November - Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan modul baharu kesihatan dalam Kursus Asas Haji musim 1447M/2026M, bagi membantu jemaah mengekalkan kesihatan yang baik sejak 3 Oktober lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata modul itu diperkenal bagi memenuhi syarat kesihatan haji yang telah diperketat oleh kerajaan Arab Saudi.
"Dalam setiap bulan Tabung Haji memberikan anugerah kepada jemaah yang menerima tawaran haji yang mengikuti kursus. Kami tunjukkan apa bentuk kesihatan yang mereka buat. Alhamdulillah secara tak langsung dapat mendidik mereka menjaga kesihatan," kata beliau selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-18 Kolej Profesional MAIWP di ibu negara.
Beliau turut menasihatkan bakal jemaah yang telah menerima surat tawaran haji agar sentiasa menjaga kesihatan supaya dapat mengerjakan ibadah haji dengan sempurna kelak.
Pada 19 Oktober lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan yang diperketat bagi memperoleh visa seperti bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal dan berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.